Monday, October 25, 2010

Rentetan al-Kisah Islamic Fashion Festival

Astaghfirullahal'azim.. astaghfirullahal'azim.. wa astaghfirullahal'azim

Aku mohon ampun dari Allah yang mencampakkan perasaan-perasaan indah dalam hati, yang mencetuskan keinginan kepada ma'aruf dalam jiwa dan yang menolak hati untuk berusaha keras melawan kehendak diri.

Nota ringkas, sekadar untuk meluah apa yang dirasai dalam hati. Perasaan bercampur-baur, antara marah dan rasional. Atau apakah ini satu tamparan hebat tentang usaha dakwah ilallah aku dan sahabat-sahabat? Seolah-olah dinampakkan, dakwah ini perlu diperhebatkan bukan kerana nama tapi untuk memakmurkan alam dengan kalimah sebenar-benar “Lailahaillallah”!

Pertama-tama didedahkan dengan al-kisah Islamic Fashion Festival yang mana penaungnya adalah seorang ibu yang penyayang kepada anak-anaknya, aku rasa terpukul dan seolah-olah tersentap jiwa dari kurungan jasad. Perasaan marah hampir saja menguasai diri dan mungkin aku juga akhirnya menjadi seperti ramainya manusia yang memberi komentar-komentar pedas mahupun pahit dengan kata-kata kesat dan tidak islam. Tapi, alhamdulillah Allah mentakdirkan perasaan marah itu untuk berlalu pergi sedikit demi sedikit.

****

Maha Suci Allah yang telah menebarkan kasih dan sayangNya kepada aku dan sahabat-sahabat bergelar manusia. Maha Suci Allah yang telah mencampakkan hidayah dalam hati untuk mengenaliMu, ya Rabb lebih intim lebih benar.

Astaghfirullahal’azim, aku mohon ampun kepadaMu Ya Allah atas setiap kelemahan dan rungutan tanpa asas selama hidup ini. Aku melihat, umat islam menggelarkan diri mereka ‘Muslim’ tetapi masih lagi beramal dengan amalan jahiliyyah. Aku melihat umat ini terus hanyut dalam bahtera kesesatan tetapi aku masih lagi merungut merasa bosan tidak berbuat apa-apa.

Ya Allah, Engkau telah menciptakan aku untuk menyelamatkan diri dan sahabat-sahabat manusia daripada jatuh ke jurang kecelakaan. Hari ini Engkau telah mencampakkan perasaan malu dalam diriku dan sahabat-sahabatku atas setiap perbuatan jahiliyyah dan kecelakaan. Aku malu melihat acara-acara bukan islam dilabel jenama Islam! Tapi, aku masih belum juga mengorak langkah yang benar untuk mencegahnya.

“Dialah yang menciptakan kamu, lalu di antara kamu ada yang kafir dan di antara kamu (juga) ada yang mukmin. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (At-Taghobun: 2)

Aku dan sahabat-sahabat manusiaku menyangka kami telah menyerahkan hidup dan mati kami untuk jalanMu tetapi, rupa-rupanya masih banyak lagi yang belum kami telusuri. Dakwah ini masih belum lagi sampai ke telinga mereka yang bersama dalam acara-acara berjenama Islam itu. Aku dan sahabat-sahabatku terlalu sibuk berkomentar, menegur itu dan ini dalam acara itu sesama kami. Tapi, tak seorangpun daripada kami yang bergelar manusia membicarakan acara itu secara telus dengan si pembuat acara.

Maha Suci Allah, langkah dakwah ini sebenarnya masih lagi jauh. Masih terlalu pendek langkah-langkah kami dalam jalanMu ini Ya Rabb. Dakwah ini masih belum lagi sampai kepada semua yang layak mendengar dan merasainya! Betapa banyaknya kerja berbanding masa yang Engkau beri Ya Allah. Kami menyangka kami sudah melakukan sunnah terbesar ini sehabis daya, padahal masih terlalu ramai pemuda-pemuda atau sahabat-sahabat bergelar manusia di luar sana yang belum pernah disentuh oleh indahnya islam. Indahnya hidup untuk Allah semata-mata.

****

"Kalau mereka ikhlas (menasihati) mengapa tidak tarik tangannya, bersendirian tanya dengannya lebih dahulu (perkara sebenar)," katanya. (Sumber: MalaysiaKini)

Komen yang benar! Subhanallah, agama itu agama nasihat. Tidak sama sekali mengizinkan kita menghambur kata-kata kesat kepada si pelaku. Apakah engkau tahu isi hatinya? Apakah engkau boleh membaca telus hati si pelaku? Adakah engkau yang memegang hatinya untuk faham islam sebenar?

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungghunya TuhanMu, Dialah yang lebihmengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.” (An-Nahl: 125)

Tepuk dada, tanyalah diri sendiri! Kuasa memberi hidayah itu ada pada siapa? Sudah cukupkah usaha aku dan engkau untuk mencetuskan kefahaman islam sebenar dalam hati si pelaku? Atau dalam hati orang yang aku dan engkau tuduh memalukan islam dan mempersendakan islam? Sungguh, aku mohon ampun hanya pada Allah yang memegang hati-hati manusia. Aku bukanlah penghukum, aku hanya mahu menyampaikan risalah teragung ini. Aku hanya mahu kemanisan bersusah-payah mengejar redhoMu dirasai setiap pelusuk dunia. ISHAB bercita-cita menyampaikan islam kepada setiap janin ibu-ibu yang mengandung, adakah aku juga bercita-cita tinggi begitu? Adakah engkau begitu pemberi komentar-komentar ‘hebat’?

“Dan persiapkanlah dengan segala kemampuan untuk menghadapi mereka dengan kekuatan yang kamu miliki dan dari pasukan berkuda yang dapat menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; tetapi Allah mengetahuinya...” (Al-anfal: 60)

Aku tak sanggup terus mengomen tentang isu ini, kerana takut kecaman Allah terhadap para pencela yang dihinakan! Astaghfirullahal’azim, aku mohon sahabat-sahabat manusiaku yang berjiwa panas dan bersemangat membara untuk sama-sama melepaskan amarah dan geram. Cukup setakat ini marahku, cukuplah Allah yang menghukum pesalah. Bukan tugas kita menghukum sesiapa, kerana kita hanyalah penyampai peringatan.

“..lalu mereka berkata, “Apakah (pantas) manusia yang memberi petunjuk kepada kami?” Lalu mereka ingkar dan berpaling; padahal Allah tidak memerlukan (mereka). Dan Allah Mahakaya, Maha Tepuji.” (At-Taghobun: 6)

****

Semoga aku dan engkau mengambil iktibar daripada al-kisah IFF, bukan sekadar menghambur kata-kata merendah-rendahkan yang lain. Aku dan engkau hanyalah manusia, bukan malaikat atau bukan tuhan!

Jika mahukan perubahan, maka lalukanlah perubahan ini bersama-sama.

Jika mahukan islam tertegak di Malaysia dengan benar, maka tegakkanlah islam dalam setiap jiwa islam dalam tanahair itu.

Jika mahu memperbetulkan kesilapan orang lain, makan perbetulkanlah juga diri sendiri.

Jika mahu orang lain mengambil al-Quran sebagai rujukan, maka jadikanlah al-Quran itu panduan hidup buat dirimu juga.

Hanya dengan teguran tanpa memperbetulkan diri sendiri dan orang lain, takkan mencukupi.

Ayuh sahabat, dakwah ilallah ini perlu dipergiatkan!

Ayuhlah sahabat, kita seru mereka hingga ke setiap janin dalam perut ibunya!

Ayuhlah sahabat, kita berjalan dalam jalan ini sehingga hembusan nafas terakhir!

“Dakwah ilallah adalah jalan kejayaan dunia & akhirat.”

“Wahai manusia! Sungguh, telah dating kepadamu pelajaran (al-Quran dari Tuhanmu, penyembuh bagi penyakit yang ada dalam dada, dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.” (Yunus: 57)

Wallahu’alam.

No comments:

Post a Comment