Thursday, November 4, 2010

MotivasiKu Mahu Terus Kuat

Hari ni tiba-tiba rasa semangat lebih tinggi dari biasa. Entahlah kenapa tiba-tiba. Ibarat kata orang-orang lama, jiwa seperti dibakar-bakar! Ditakdirkan Allah juga, hari ini terkenang adik-adik tersayang. Rasa dah lame tak berjumpa, duduk dalam satu bulatan berbicara tentang umat berkongsi ilmu dan kefahaman. Dah lama rasanya kita tak duduk bersama mentadabbur ayat-ayat indah Allah SWT. Terasa ‘kering’ semacam bila tak berkongsi.

Astaghfirullahal’azim, semoga Allah mengampuni segala dosa hamba. Diri ini bukanlah penterjemah terbaik ayat-ayat Allah tapi digerakkan hati oleh Allah untuk berkongsi suatu perasaan. Perasaan yang tidak mudah diungkapkan dengan kata-kata dan tulisan. Apatah lagi, tulisan dan ayat-ayatku masih lagi perlukan pembaikan. Astaghfirullah. Setiap sesuatu itu adalah nikmat dan ujian dari Allah.

Satu surah, yang atas kehendakNya sampai ke telingaku tanpa dirancang. Semestinya ayat-ayat itu pernah mencecah ke telingaku suatu ketika dahulu, barangkali lebih dari 5 kali. Tapi, kali ini datang tolakan dari Allah untuk meneliti maksud ayat-ayat indah tersebut. Subhanallah, tidak ada satu pun janji-janji Allah yang tidak benar. Aku terduduk, lantas menutup buku Medicine sebentar.

***

”Apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi senantiasa bertasbih kepada Allah; milikNya semua kerajaan dan bagiNya (pula) segala puji; dan Dia Mahakuasa atas segala sesuatu.”

Segala yang Allah ciptakan di dunia ini adalah milik Allah semata-mata. Kita tidak berhak sedikit pun walau sebesar zarah ke atas harta-harta dunia ini. Sedangkan makhluk Allah yang lain pun islam, kenapa pula ramai manusia tak menyerah diri sepenuhnya kepada Allah? Sibuk dengan mengingati dunia dan melupakan mati, seakan-akan hidup di dunia selama-lamanya. Sampai terlupa, Allah-lah yang Maha berkuasa ke atas diri hamba-hambaNya. Sampai satu ketika, jiwa-jiwa kita pasti akan merasai mati. Pasti akan pulang kepada Penciptanya.


”Dia-lah yang menciptakan kamu, lalu di antara kamu ada yang kafir dan di antara kamu (juga) ada yang mukmin. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”

Allah menciptakan kita dengan dua tujuan iaitu menjadi hamba dan khalifah di muka bumi ini. Dan pasti ada tujuan kenapa Allah ciptakan manusia, ada yang beriman dan ada yang tidak. Tidak ada satu pun yang Allah jadikan sia-sia. Allah Maha Melihat akan setiap perbuatan dan tindakan hamba-hambaNya di dunia. Adakah di kalangan kita yang menyahut seruan Allah untuk memanjangkan dakwah kepada mereka yang masih belum beriman? Atau kita hanya duduk lepak-lepak, minum kopi dan makan roti canai di kedai mamak? Mungkin ada yang melihat wujudnya orang-orang yang belum beriman ini sebagai gugatan atau sebagai bukti hidayah itu milik Allah. Tapi, ingatlah selagi tidak ada yang menyampaikan kepada mereka maka selagi itu ia menjadi amanah buat kita untuk menyampaikan. Sahabat, ini adalah ujian dari Allah untuk kita sebagai khalifahNya. Siapalah kita tanpa Allah? Siapalah kita di dunia ini jika tidak menyerahkan seluruh hidup untuk Allah? Apa pula pekerjaan kita yang akan disaksikan oleh Allah yang melayakkan kita mendapat redhoNya? Bekerjalah, walaupun kiamat sedang berlaku di hadapan matamu. Sungguh, Allah memerhatikan kita setiap detik dan ketika.


”Dia menciptakan langit dan bumi dengan (tujuan) yang benar, Dia membentuk rupamu lalu memperbagus rupamu, dan kepadaNya tempat kembali.”


Ingatlah, tidak Allah jadikan sesuatu itu sia-sia. Segala-sagalanya dijadikan sebagai alat untuk manusia mendapatkan redhoNya. Allah menjadikan bumi sebagai hamparan, sesuai untuk manusia dan makhluk-makhlukNya hidup. Kita boleh bernafas, boleh berkata-kata, hidup dengan mudah tanpa kepayahan. Mudah bukan untuk bernafas? Automatic and spontaneous, tak perlu dikawal dengan minda sedar 24 jam sehari semalam. Segala-galanya untuk tujuan menyembah Allah dan menegakkan kalimah thoyyibah di sini. Dan dengan segala keindahan yang Allah beri kepada hamba-hambaNya, ia tidak akan berkekalan. Semuanya pasti akan kembali ke tanah juga. Dari tanah kita datang, ke tanah jua tempat kembali. Tidak seorangpun kembali ke Marikh, atau kembali kepada berhala-hala kontemporari. Tidak seorangpun apabila telah mati, menjadi seperti apa yang dia ilahkan semasa hayatnya. Ke ade yang bila mati jadi duit-duit kertas berbau ’wangi’? Atau pernahkah anda bertemu orang yang meniggal dunia kembali menjadi banglo yang dibangga-banggakan? (tak paham xpe, interpretasi sendiri^^). Kesimpulannya, cantik mana pun kita kaya mana pun kita bijak mana pun kita kita pasti akan kembali kepada Allah juga. Yang ditimbang dan dihisab hanyalah amalan kita semasa di dunia untuk redho Allah. Atau adakah kita telah menyalahgunakan segala ciptaan Allah untuk kita? Na’uzubillah.


”Dia mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi; dan mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu nyatakan. Dan Allah Maha Mengetahui segala isi hati.”

Kalau kata pepatah Melayu, air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Begitu jugalah dengan kuasa Allah SWT. Terlalu banyak rahsia yang kita sendiri tidak tahu. Sejauh manapun satelit-satelit ciptaan manusia telah menjelajah galaksi, ilmu manusia semakin sempit. Semakin banyak yang kita cuba korek, semakin banyak yang perlu ambil tahu. Sungguh, kuasa kita sangat terhad tidak seperti hebatnya kuasa Allah. Allah yang menciptakan segala-galanya, maka Dialah yang Maha Mengetahui tentang segala-sesuatu. Malah, Allah juga mengetahui rahsia hati kita. Ikhlas atau tidak, benar-benar beriman atau tidak, berniat hanya untuk Allah atau tidak, Dia Maha Mengetahui. Maka, siapa yang berhak mengatakan cukuplah amalanku selama ini kerana telah banyak yang aku lakukan untuk Allah.” Tidak sama sekali! Nilaian amalan itu milik Allah secara mutlak. Tiada siapa melainkan Allah yang mengetahui. Jadi, tidak ada alasan untuk kita sebagai hamba Allah untuk duduk-duduk bersenang-senang tanpa melakukan setiap perkara dengan sehabis daya dan keringat semata-mata untuk Allah. Ikhtiar itu takkan pernah cukup, kerana kita takkan pernah tahu apakah setiap perbuatan ’baik’ kita diterima atau ditolak oleh Allah. Oleh itu, jadikanlah firman Allah ini sebagai satu panggilan untuk kita sama-sama menyucikan hati sebersih-bersihnya dari segala debu jahiliyyah kerana Allah sahaja yang mengetahui isi hati manusia. Dan hati yang bersih itu akan lebih dekat dengan Allah.


”Tidak ada suatu musibah yang menimpa (seseorang), kecuali dengan izin Allah; dan barang siapa beriman kepada Allah, nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”

Sebagaimana yang kita imani, ”boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu.” Begitulah, segala-galanya berbalik kepada persepsi masing-masing. Jika melihat sesuatu itu sebagai musibah dan bencana, maka itulah yang akan anda rasai dan alami. Seandainya musibah dan ujian dianggap sebagai satu punca kekuatan, maka jiwa dan semangat anda pasti akan sentiasa membara. Tidak akan pernah berburuk sangka kepada Allah. Segala sesuatu hanya akan berlaku dengan izin Allah hatta sesuatu yang nampak mustahil pada kaca mata anda! Dan Allah telah menjanjikan suatu kebahagiaan kepada kita iaitu petunjuk kepada kebenaran! Allah akan memberikan kegembiraan itu hanya kepada hamba-hambaNya yang benar-benar mencari kebenaran dan benar-benar cinta kepada Allah. Jadilah kita hamba-hamba yang benar-benar mahu berada di atas jalan kebenaran. Jadilah kita seorang hamba yang benar-benar mahu menyucikan jiwa dan diri. Jadilah kita seorang hamba yang benar-benar menyerah hidup dan mati, harta dan jiwa kita untuk cinta Allah. Nescaya, Allah akan membimbing kita kepadaNya. ”Wa man aufa bi’ahdihi minallah”.


”Dan taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul. Jika kamu berpaling maka sesungguhnya kewajiban Rasul Kami hanyalah menyampaikan (amanah Allah) dengan terang.”


Taatlah kepada Allah dan Rasul. Itulah kalimah kebenaran yang wajib kita sampaikan kepada seluruh umat manusia. Dan ingatlah, barangsiapa yang mahu bersama di atas jalan para Anbiya’ maka dugaan demi dugaan pasti akan datang. Jalan ini tidak ditaburi bunga-bungaan tapi ianya penuh duri. Setiap langkah itu perlu berhati-hati agar tidak terjatuh ke dalam kefuturan. Janji Allah bagi siapa yang bersama atas jalan ini, pasti akan menemui cabaran-cabaran yang akan menggugat emosi dan jiwa. Kita pasti akan berdepan dengan manusia-manusia yang menolak dan berpaling dari kalimah-kalimah Allah. Pasti akan ada yang disakiti dan dilukai. Dan yang lebih parah itu adalah belati yang membelah hati dan rasa. Itulah manusia, Allah jadikan penuh beremosi. Dan ingatlah, matlamat kita hanyalah menuju Allah bukan bertujuan memaksa manusia menerima dan menundukkan manusia untuk ikut serta berjuang. Para Rasul diutuskan hanyalah sebagai penyampai, bukan penghukum. Begitu jugalah kita, telah tergalas pada bahu kita untuk mengganti tugas para Rasul iaitu menyampaikan syahadah. Inilah motivasi kita, untuk menyampaikan kebenaran dengan jelas, nyata dan sehabis daya sampai tak larat. Menyampaikan al-haq dengan segala cara dan gaya. Itulah tadhiyah kita, sampai tak larat! Sampai hembusan nafas terakhir, hingga ke titis darah terkahir, hingga tubuhku rebah takkan bangkit kembali.


”(Dialah) Allah, tidak ada tuhan selain Dia. Dan hendaklah orang-orang mukmin bertawakal kepada Allah.”

Serahkanlah dirimu kepada Allah, kerana Dialah satu-satunya Tuhan tiada yang lain. Dan sungguh, jika anda telah menyerahkan diri anda kepada Tuhan yang Satu maka bertawakallah kepada Allah untuk setiap urusan yang bakal anda laksanakan. Kita menyerahkan diri terlebih dahulu kepada Allah, kemudian akan datang suatu semangat yang berkobar-kobar untuk melakukan yang terbaik demi redho Allah. Dan untuk setiap ikhtiar itu, sekali lagi kita serahkan kepada Allah untuk menentukan natijahnya. Tidak ada ilah lain selain Allah yang berhak menentukan perjalanan hidup kita. Dan dengan setiap tawakal itu, perlu kepada sifat redho kerana dengannya akan mudah kita menerima segala keputusan dari Allah. Yakinlah pada Allah, dan berbaik sangkalah kepada Allah. Sungguh, Allah tidak akan pernah menzalimi hamba-hambaNya.


”Jika kamu meminjamkan kepada Allah dengan pinjaman yang baik, nescaya Dia melipatgandakan (balasan) untukmu dan mengampuni kamu. Dan Allah Maha Mensyukuri, Maha Penyantun.”


Jika kita memberikan yang terbaik untuk Allah, maka Allah pasti akan mngurniakan kepada kita suatu kebaikan yang tidak terhingga. Dan jual beli yang terbaik itu adalah dengan diri dan harta yang terbaik, bukan saki-baki kehidupan. Jika masih ada usia yang muda, maka berilah masa mudamu itu untuk Allah kerana ianya lebih baik daripada usia tuamu yang lebih banyak kelemahan fizikal. Tak perlu menunggu tulang-tulang sudah rapuh atau sendi-sendi sudah berkarat. Jika ada banyak harta-hartamu, berilah harta yang terbaik yang paling engkau sayangi untuk Allah. Kerana ia lebih baik daripada memberi saki-baki harta yang tiada nilai dihatimu untuk itu. Tak perlu menunggu dan berkira-kira untung rugi sebelum memberi di jalan Allah. Takkan rugi pun! Jika jual beli kita dengan manusia, kita mahukan produk terbaik untuk harga terbaik kenapa tidak begitu dengan jual-beli yang tambah-tambah menguntungkan ini? Segala-galanya, setiap ’modal’ yang kita ada datang dari Allah. Pinjaman dari Allah, malah akan Allah lipatgandakan lagi dan setiap dosa kita akan diampuni. Apakah tidak cukup dengan nikmat dunia yang Allah berikan untuk kita rasa bersyukur? Allah-lah pemodalnya dan Dia jugalah pembelinya. Mana bahagian kita yang boleh dikorbankan atau diserahkan untuk dijual? Bersyukurlah! Kita takkan mampu sampai kiamat untuk menghasilkan modal sendiri. Dunia ini bukan milik atau ciptaan kita! Sungguh, Allah Maha Pemurah. Sangat-sangat Maha Pemurah. Jom kawan-kawan, kita berjual-beli dengan Allah dengan harta terbaik yang dipinjami. *Lagipun, semuanya dari Allah juge ^^*


***

Inilah Surah At-Taghabun yang bermain-main di mp3 sejak dua menjak ini. Sampai kini masih lagi terngiang-ngiang indah bacaan Syeikh Mishary. Tapi, apalah ertinya bacaan itu bermain-main ligat difikiran tanpa maksudnya tidak kufahami? Semoga Allah terus-menerus memberikan hidayah dan nikmat islam ini kepada kami. Wa-astaghfirullah ~


No comments:

Post a Comment