Saturday, April 30, 2011

Kenapa Aku Bersama Tarbiyyah?

Astaghfirullahi wa astaghfirullah.

Alhamdulillahi thumma, alhamdulillahi thumma wa alhamdulillah.

Ya Allah, Engkau ilhamkan aku untuk kembali berfikir. Kembali merenung atas motif apa aku berada di sini. Atas kehendak apa aku terusan berjalan di jalan ini bersama mereka?

Bukanlah kerana satu ikatan atau pertalian kemanusiaan semata-mata. Ya, benar ya Allah. Aku-lah antara hambaMu yang pernah mempersoal kewujudanku bersama mereka. Aku-lah yang pernah menilai erti sebuah persahabatan yang ketika itu masih belum aku rasai. Dan aku-lah jua, hambaMu yang pernah berfikir-fikir untuk melangkah pergi bersama sekelompok manusia lain hanya kerana satu rasa kebersamaan yang kuimpikan. Satu kebersamaan yang aku suka dan cintakan!

Aku-lah hambaMu yang cuba membenarkan rasa kebersamaan itu adalah yang paling benar, padahal aku tahu akan satu kebenaran yang merubah paradigma. Merubah tumpuan mataku. Aku-lah orang itu ya Allah, seringkali mencari tenang hanya untuk hatiku. Melupakan hati-hati lain yang dalam sedar atau tidak, telah aku calari. Aku-lah insan itu, meletakkan segala-galanya tentang AKU!

Aku-lah manusia itu, ya Allah! Menilai sesuatu atas kehendakku, atas apa yang aku mahu bukan yang aku perlu. Aku mahu kebersamaan tapi aku perlukan satu kepayahan dalam mencapai kebersamaan. Tapi, aku tidak sekali-kali mahukan kesusahan kerana merasakan aku tidak perlu lagi dibentuk. Tidak perlu lagi dibimbing. Alangkah egonya aku ya Allah!

Walhal, aku tahu kebenaran! Kebenaran yang akan membuktikan kelurusan niat dan matlamatku. Jika benar segala-galanya untuk Allah, bukan untuk kesenangan dan keinginanku, pasti aku memilih jalan yang sukar! Pasti telah kupilih jalan memedihkan kerana aku diyakini perjuangan mendapat redha dan cinta Allah penuh sukar dan duri. Aku yakini! Aku yakini sepenuh hati!

Alhamdulillahi walhamdulillah, dariMu datangnya segala petunjuk. DariMu datang segala keyakinan dan dariMu jua datang segala musibah yang menjadikan aku lebih matang. Aku telah memilih bersama manusia-manusia asing ini untuk redhaMu. Kerana jalan yang Kau janjikan ini sangat panjang dan sangat sukar.

Aku tidak memilih kerana ukhuwah yang manis, hanya ada apabila aku mahu.
Aku memilih untuk ukhuwah yang pahit, hadir ketikamana aku perlu tapi jiwaku sekali-kali tidak mahu.

"...Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (2:216)

Subhanallah, betapa besar dan hebatnya Allah.

Hari ini, aku telah merasai satu kemanisan yang teramat indah. Kerana pertemuan aku dan manusia-manusia asing dahulu, bukan bertunjangkan keinginan atau kehendak peribadi. Tetapi, inilah kemanisan ukhuwah kerana jalan Allah. Jalan yang menjadikan aku lebih mudah menerima dan lebih mudah diterima. Kini mereka tidak lagi asing dalam hidupku...

Ikhlas, itulah kuncinya.
Kunci kepada segala pertarungan jiwa, memilih antara kita atau mardhotillah!


Ikhlaslah sahabat, nescaya Allah akan menemukan kita kepada satu ketenangan yang tidak disangka-sangka. Ikhlaslah wahai akhawat, nescaya Allah akan menyatukan hati-hati kita dengan ikatan terindah yang datang dalam keadaan tidak diduga-duga.

Ikhlaslah, kerana itulah pelembut hati kita menuju Allah.


"Aku mahu bersama tarbiyyah kerana ALLAH, bukan kerana MANUSIA."


Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment