Thursday, November 18, 2010

Aku Penyembah Dunia?? (Az-Zumar & Aku)

Terlalu lama memerapkan diri dibawah longgokan buku-buku Medicine menjadikan aku hampir terlupa. Bukan tidak ada yang mengingatkan, tapi telinga ini seperti diselubung satu lapisan tebal menjadikan aku tuli seketika. ‘Seketika’ yang hakikatnya mampu menjadikan aku terus tuli dan terlupa!

Ya Allah, ampuni aku Ya Rabb. Hanya kepadaMu aku memohon terus diberikan petunjuk kepadaMu.

Katakanlah, “Sesungguhnya aku telah diperintahkan agar menyembah Allah dengan penuh ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama.

Dan aku diperintahkan agar menjadi orang yang pertama-tama berserah diri.”

Katakanlah, ”Sesungguhnya aku takut akan azab pada hari yang besar jika aku durhaka kepada Tuhanku.”

Katakanlah, ”Hanya Allah yang aku sembah dengan penuh ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agamaku.”

(Az-Zumar: 11-14)

Berulangkali, firman-firman Allah ini kubaca. Berkali-kali kutatap, diulang-ulang. Terasa seperti tertampar dengan kalimat-kalimat suci ini. Tamparan-tamparan hebat dihatiku, tak tertanding oleh sesiapapun! Seolah-olah aku seorang yang sangat degil, tak faham bahasa dan tak punya akal! Macam orang bodoh! Berjuta-juta kali diingatkan, beribu-ribu kali diberitakan dengan janji azab Allah tapi aku masih juga lupa. Masih juga enak menghirup bauan dunia yang meloyakan. Barangkali aku juga dianggap ’durhaka’ pada penglihatanNya! Na’uzubillah... mohon Allah, Engkau jauhkanlah aku dari golongan itu.

Ini teguran-teguran Allah buatku, terutama ketika aku sedang lupa. Tatkala aku aku sedang bermain-main dengan dunia yang sememangnya indah dan membungakan jiwa. Apabila diri seakan membumi pada kesibukan imtihan yang bakal menjelma! Allah mahukan aku kembali ingat, kembali ke pangkal perjanjian. Satu perjanjian yang kita semua telah tandatangani satu ketika dulu. Itulah ikrar kita, ikrar aku dan engkau! Ingatkah lagi janji yang satu itu wahai sahabat yang sentiasa mengingatkan?

Nah, aku dan engkau serupa! Kita selalu terlupa. Sering tersasar ke tepian jalan dek silaunya kilauan permata dunia yang kita kejari. Jika engkau lupa, maka teguran Allah ini juga untukmu sahabat. Ayuh, kita rasai bersama kalimah suci ini. Bukan dengan tangan dan mata ya sahabat tapi rasailah dengan hati kita. Hati yang selalu berbolak-balik antara dua jalan terpampang dihadapan; Jalan kebenaran atau jalan yang menyesatkan!

Pernahkah kita cuba membayangkan betapa pedih dan deritanya azab Allah kelak? Pernahkah kita merasai kepedihan sepertimana yang Allah janjikan untuk orang-orang yang memilih jalan kefasikan? Pasti teramat berat! Sangat-sangat-sangat menyiksakan! Aku merasa takut akan azab Allah wahai sahabat. Tersangat takut! Tapi, cukupkah takutku ini sekadar meremangkan bulu roma ketika mataku menangkap ancaman-ancaman Allah dalam al-Quran? Atau cukupkah takutku ini jika aku hanya melafazkan ’takutnya’ setiap kali teringat janji-janji azab Allah? Aku benar-benar dalam ketakutan, bimbang kerana takutku ini menjunamkan aku ke dalam nerakaNya. Mohon Allah, Engkau jauhkanlah aku dari azabMu yang memedihkan.

Astaghfirullahal’azim, aku mohon ampun hanya kepada Allah. Sekian lama aku bersama tarbiyyah ini, aku masih lagi belum benar-benar menjadikan al-Quran sebagai petunjuk hidup ini. Masih lagi belum benar-benar mengotakan janjiku dengan Allah SWT suatu ketika dulu. Ya, benar! Aku telah berjanji untuk menyerahkan segala yang ada padaku untuk Allah. Setiap nafasku, setiap titisan darahku, setiap dunia kerdil yang dipinjami Allah buat kesenanganku! Segala-galanya itu untuk Allah, tiada yang lain! Aku telah berjanji untuk taat dan taat dan taat kepada Allah, bukan yang lain! Bukan kepada dunia pinjaman Allah, bukan kepada ibu dan ayah mahupun kepada pemimpin tercinta! Segala ketaatan ini hanya untuk Allah! Hanya Allah!

Wahai sahabat, aku sedang lupa. Aku sedang terpedaya. Aku sedang sibuk dalam urusan dunia. Dunia sedang mencengkam hatiku, berpijak disitu tanpa ganjak. Bantulah aku sahabat, bantulah diri kita. Tatkala aku sedang kembali sedar, Allah telah berkata-kata kepadaku dengan satu nada keras:


”Maka sembahlah selain Dia sesukamu! (wahai orang-orang musyrik)....” (Az-Zumar: 15)

Allahu akbar, Allah-lah Yang Maha Besar Maha Agung Maha Mengetahui jiwa hamba-hambaNya yang tersembunyi. Tersentap jantungku sebentar, terasa seperti terhenti nafasku seketika. Aku merasai seperti Allah hendak berlalu pergi dariku, padahal aku tahu Allah sentiasa bersama hamba-hambaNya tidak kira dalam susah mahupun senang. Bayangkan sahabat, jika Allah benar-benar meniggalkan kita terkapai-kapai dalam gelap. Meninggalkan kita tanpa sebarang amaran, tanpa satu khabar berita. Akan rugilah kita wahai sahabat, teramat rugi. Kita akan jadi orang yang ’muflis’, diberi satu pinjaman menguntungkan tapi mem’bankrupt’kan diri sendiri. Kita tidak akan sekali-kali menjadi makhluk terbaik tanpa hidayah Allah, tanpa bimbingan Allah. Hidup akan menjadi huru-hara, tanpa sebarang pegangan tanpa sebarang kasih sayang.

Aku tidak mahu membayangkan hidup ini jika Allah tidak bersamaku. Sekali-kali tidak mahu dan tidak ingin itu terjadi. Tapi, aku hanyalah manusia yang sering ligat memikirkan ’kemungkinan-kemungkinan’ yang tercapai dek akal. Aku pasti menjadi insan yang paling murung di dunia, paling berwajah kusam dan paling banyak menangis. Jiwa ini pasti terasa sangat kosong sekosong yang tidak pernah aku rasai dan tidak ingin kurasai. Hidup ini pasti gelap seperti seorang manusia yang baru kehilangan nikmat penglihatannya. Dahulu boleh melihat, tiba-tiba dunia penuh kegelapan dan suara-suara yang menenangkan pun telah sunyi membisu. Ingin menjerit meminta tolong, sepatah bunyi pun tidak terkeluar dari mulut yang luas ternganga.

Na’uzubillah, aku mohon ya Allah.. Kau jauhkanlah kami dari kehilangan cintaMu dan keputusan hidayahMu ya Rabb. Memang benar aku tidak menyembah Tuhan Hindu, aku tidak menyembah Tuhan Kristian dan aku tidak pula menyembah Matahari dan roh-roh tokoh-tokoh terkenal. Tapi, adakah itu menjadikan aku orang yang telah benar-benar menyembah Allah dan tidak menyembah atau mengagungkan sesuatu selain Allah? Adakah siri-siri drama House, NCIS, Supernatural dan sewaktu dengannya itu membawa aku dan engkau kepada Allah? Atau adakah berkelah, bersukan dan bersuka-ria di MovieWorld atau dipanggung-panggung wayang dianggap perbuatan mengagungkan dan menyembah Allah? Adakah lagu-lagu yang aku dengar ketika ini juga mengingatkan aku kembali kepada Allah atau mengembalikan semangatku untuk terus bersama dijalan Allah atau mengukuhkan hatiku untuk berpegang teguh pada janjiku untuk taat hanya kepada Allah? Jika semua ini untuk Allah, nescaya beratlah jiwaku untuk meninggalkan dunia. Maka, akan terasa suatu kepayahan yang teramat tinggi untuk aku merangkak menuju redho Allah apatah lagi hanya untuk berjalan kepada Allah! Maka, akan jauhlah aku dan bertambah jauh lagi daripada cinta Allah yang sangat-sangat aku dambakan.


Aku hanya akan merugikan diriku sendiri! Salah siapa? Salahku juga... Na’uzubillah.

”....Katakanlah, ”Sesungguhnya orang-orang yang rugi ialah orang-orang yang merugikan diri mereka sendiri dan keluarganya pada hari Kiamat.” Ingatlah! Yang demikian itu adalah kerugian yang nyata.”

(Az-Zumar: 15)

Alhamdulillah, alhamdulillah alhamdulillah. Sesungguhnya, kemuliaan aku dan engkau terletak pada islam bukan pada kehebatan kita mahupun pada timbunan dunia digenggaman kita. Ingatlah, Allah sentiasa bersama kita tapi kenapa kita selalu mahu melupakan Allah dengan berbuat dosa dan mengagungkan selain Allah? Melakukan maksiat baik yang kecil mahupun besar atau menyembah jahiliyah baik yang kecil mahupun yang besar, hakikatnya menjauhkan kita dari rahmat Allah dan dari mengingati Allah. Inilah peringatan buat diriku, istimewa dari kalimah-kalimah Allah yang suci. Kalimah penuh inspirasi dan pembaharuan rohani.

Sembahlah Allah, taatilah Allah, serahlah diri kepada Allah!

Sembahlah Allah dan tinggalkan selainnya!

Jangan menjadi orang yang rugi!

”Tetapi manusia hendak membuat maksiat terus-menerus.” (75:5)

No comments:

Post a Comment