Sunday, August 15, 2010

Kerikil Metropolitan

Seharian aku duduk bersahaja. Memerah otak yang sarat dengan kerikil kecil. Sedikit demi sedikit kerikil-kerikil itu berguguran. Aku menyangka ia sedikit rupanya penuh membaldi. Satu persatu kuamati dan kuselidiki; Adayang biasa aku temui di jalanan ini dan ada pula yang terlalu ganjil bukan berasal dari bumi ini. Datangnya dari satu daerah metropolitan. Daerah yang dihuni kerikil-kerikil hitam sepekat-pekatnya.

"Wahai kerikil metropolitan. Kenapakah engkau hidup bebas bersama kerikil-kerikil jalanan ini? Adakah engkau dipulaukan dari halamanmu, hai kerikil metropolitan?"


Aku menanti kerikil metropolitan bersuara. Menunggu kumat-kamit si kerikil metropolitan. Tapi kerikil metropolitan tetap tidak berkata-kata. Teguh membatu dan membisu. Aku teringat firman Allah, menyeru aku bersabar dengan sabar yang sempurna. Yakin pada ayat-ayatNya, aku terus bersabar menunggu. Dan terus menunggu.Terus lagi menunggu tanpa sebarang balasan.

Seharian aku duduk bersahaja. Belum penat memerah otak yang semakin kurang sarat dengan kerikil-kerikil kecil. Aku merasakan kerikil-kerikil ini terlalu istimewa. Istimewa hingga aku melupakan yang lainnya. Tetapi, lantaran kurang mengenali kerikil metropolitan yang masih lagi berdiam diri itu aku lantas terlupa memerah otak yang masih lagi sarat dengan kerikil kecintaanku.

"Wahai kerikil metropolitan. Tidak cukupkah tempat yang aku berikan kepadamu di otak dan hatiku? Kurangkah lagi kecintaanku padamu hingga engkau masih lagi enggan berbicara denganku?"

Tapi kerikil metropolitan masih lagi tidak menjawab sepatah apa pun. Ia tetap membisu dan membatu. Tiada senyuman mahupun pandangan mesra dari kerikil metropolitan. Aku tambah keliru dan dalam kekacauan. Aku sudah kurang sabar menunggu tanpa sebarang jawab.

Seharian aku duduk bersahaja. Otak ini masih lagi sarat dengan kerikil-kerikil kecil tapi mataku hanya tertumpu pada satu kerikil metropolitan ini. Entah kenapa kerikil ini semakin mendapat perhatian dan menjadi ketaksubanku. Kerikil-kerikil lain masih jua tetap menunngu giliran untuk diberi kasih sayang dan tumpuan. Aku yang asalnya kurang tahu akan kerikil metropolitan merasakan semakin ingin dekat dengannya. Hanya kerana misteri keberadaan kerikil ini di jalanan ini.

"Wahai kerikil metropolitan. Aku terlalu ingin mengenalimu. Aku terlalu rindu mendengar suaramu yang masih lagi misteri. Jika engkau enggan bersuara, aku akan terus membayangimu sehingga engkau mendampingiku wahai kerikil metropolitan!"

Aku bertambah hairan. Kerikil ini tetap juga membisu tanpa sebarang bunyian. Aku hampir berputus asa. Aku memandangnya dengan pandangan sugul, terasa ingin berlalu. Tiba-tiba, kerikil metropolitan menzahirkan senyuman terindah! Mengalahkan senyuman bunga-bungaan dan taman-taman yang indah. Ah, alangkah bahagianya aku melihatmu tersenyum hai kerikil metropolitan. Sabarlah wahai kerikilku, aku ingin terus dekat bersamamu.

Seharian aku duduk bersahaja. Cuba memerah sisa-sisa kerikil-kerikil kecil di otak tapi aku tak berdaya. Menunggu dan bersama kerikil metropolitan seperti nikmat 'syurga'! Kami gembira bercetera hingga habis daya dan tenaga. Maafkan aku sisa kerikil-kerikil, esok sahaja kita bersama, apabila tenagaku kembali semula.

Hanya untukmu kerikil metropolitan, esok kita berkongsi cerita sekali lagi jika kerana itu aku dan engkau bahagia.

----

15 Ogos 2010 @ 23:39

No comments:

Post a Comment