Friday, September 17, 2010

Ketika itu langkahku belum bermula

Ketika itu aku masih lagi bayi dalam dunia tarbiyyah. masih belum mengerti tentang 'sirr' dan sebagainya. Barangkali semangat pad masa itu melebihi kefahaman yang terbina. Hayatilah tulisan anak mentah sepertiku suatu ketika dahulu, tatkala aku masih cuba berjinak-jinak dengan dakwah dan tarbiyyah.


Modul Pembangunan Insan


Sekitar awal tahun 2007, aku dan teman-teman seusrah mula mendalami Modul Pembangunan Insan bersama ukhti kami iaitu Kak Wardiah. Semua sedia maklum, Kak Wardiah adalah antara yang terbaik dalam melontarkan hujah dan pendapatnya. Aku mengagumi peribadinya yang sedia menghulur bantuan walau hanya sekecil zarah.


Tahun ini, ahli-ahli usrahku bertambah. Munthalaq yang asalnya hanya diahlikan oleh 4 orang, kini menjadi 6 orang kesemuanya. Jika dahulu, kami dipimpin oleh KakYani sekarang kami dipimpin pula oleh KakWardiah, seperti yang sedia aku maklumi di atas. Pernah, satu ketika kedua-dua kakak istimewa ini bersama-sama memimpin Munthalaq. Tapi, memahami konsep priority salah seorang terpaksa dipindahkan untuk menjadi kakak usrah yang lain. Kami yang baru sedia faham akan kepentingan ini, akur dan menurut atas segala perubahan yang terjadi.


Ahli-ahli Munthalaq terdiri daripada Nur Balqis Zahirah, Norfazlina, Nurhazwani, Shazana, Siti Nur-Shazana dan diriku sendiri. Nama usrah kami diambil sempena nama sebuah buku yang sedang kami dalami iaitu Kitab Munthalaq. Maksudnya adalah Langkah Bermula. Sedang elok, kami baru sahaja menjejakkan langkah pertama kami ke dalam dunia da’awah. Bahkan belum lagi melangkah ke meda juangnya yang sebenar. Kami benar-benar baru bermula. Mulai dengan diri kami, meyiapkan diri untu ditarbiyah dan bakal mentarbiyah yang lainnya demi matlamat bersama. Kami pernah diingatkan untuk selalu memperbetulkan niat dalam medan ini. Terjun ke dalam jalan da’awah bukanlah suatu yang akan menyenangkan dan tambah mudah apabila telah lama tetapi ia bernafas panjang. Jalan ini masih terlalu panjang dengan sisa umur yang singkat. Kita merasakan usia kita di dunia ini telah terlalu lama.


Dia (Allah) berfirman, “Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi?” Mereka menjwab, “Kami tinggal (di bumi) sehari atau setengah hari, maka tanyakanlah kepada mereka yang menghitung.” Dia (Allah) berfirman, “Kamu tinggal (di bumi) hanya sebentar saja, jika kamu benar-benar mengetahui.” [Al-Mu’minun 23: 112-114]


Begitu singkat hidup kita di dunia ini. Di dunia yang fana ini, terlalu ramai yang mencintainya sehingga lupa akan hari kebangkitan. Walau hidup 1000 tahun sekalipun, tidak akan dapat mencukupi segala kurnia Allah SWT kepada kita. Hal yang sama bagi usrah kami. Segala susah senang, menang kalah adalah atas kehendak Allah SWT. Setiap itu ada hikmahnya, dan pasti ada mengajarkan kami suatu erti yang harusnya kami pelajari dewasa ini.


Menurut naqibah Munthalaq, kami sebenarnya agak tertinggal kebelakang berbanding teman-teman di bumi Melbourne atau di tempat-tempat lain. Tetapi, bagiku tiada bezenya kerana setiap yang kami pelajari itu bukan sekadar teori. Aku benar-benar berharap agar aku dan sahabat-sahabat seusrah bisa memuatkan modul yang digarapi dalam realiti duniawi. Mungkin kelambatan kami adalah satu kebaikan yang berharga buat kami. Kami bisa memahami setiapnya dengan lebih mendalam. Itulah tarbiyah sebenar bagiku; Iaitu menyematkan ilmu di dada seiring dengan praktisnya.


Melihat dari sudut positif, kelambatan kami bukanlah suatu yang asing atau yang langsung tidak diingini. Ianya suatu yang berharga. Ia mampu menjadi harta kami suatu hari kelak. Jika ditanya padaku sendiri, setiap isi kandungan dan pelajaran berharga dalam setiap modul, aku pasti tidak mampu menjawabnya dengan baik. Sekadar memberikan rangka ringkasan setiapnya. Pernah seorang Ukhti yang menyentuh hati berkata kepada kami, kejayaan seorang naqibah adalah apabila anak-anak usrahnya mampu menyampaikan pula kepada orang lain atau anak-anak usrahnya kelak. Begitulah motif utama yang wajarnya kami sematkan dalam hati, agar suatu hari nanti kami akan bersama-sama mampu memberi ilmu dan praktis kepada generasi yang akan datang. Inilah dinamakan, jalan da’awah ini masih dan bernafas panjang!


Bayangkan, jika kami masing-masing masih kurang arif dan yakin pada setiap yang dipelajari, pasti kami tidak akan mudah untuk berkorban dan berjuang. Entah-entah, ada yang tercicir kerana merasakan dirinya tidak mampu mengambil ilmu-ilmu itu langsung terjun ke dalam medan ‘amal. Na’uzubillah.


Pengorbanan dari seorang bergelar dai’e adalah satu perkara yang amat diharapkan dalam da’awah. Tanpa pengorbanan, tiadalah kemanisan perjuangan. Allah SWT banyak berfirman dalam Al-Quran, Kalam yang akhir, mengisarkan pengorbanan dan balasan dari Allah SWT. Itu adalah jual-beli mukmin sejati dengan Allah SWT. Teringat aku, Kak Yani pernah membentangkan satu ayat yang terkenal sebagai ‘The Triple 1”. Bunyinya begini:


“Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri maupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taura, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung.” [At-Taubah 9: 111]


Memang benar, sekali melangkah sukar untuk menarik diri. Banyak dugaan dan cubaan yang datang dari Allah SWT, secara langsung atau tidak, mengajarkan kami cara-cara untuk bekerja dan berkorban. Saat kesuntukan dana untuk jaulah-jaulah atau program atau sebagainya, ada yang perlu bekorban dan menginfakkan hartanya demi da’awah ini. Terkadang bukan dalam jumlah sedikit bagi seorang pelajar, tapi jumlah yang cukup besar. Saat-saat tenaga kerja diperlukan kala kekurangan, ada yang perlu belajar mengorban masa, yang pada kami adalah suatu yang genting. Sistem universiti yang menguji. Mana yang perlu didahulukan? Da’awah atau pelajaran untuk kepuasan diri? Meluangkan beberapa minit dan jam untuk bekerja bukanlah masa yang banyak dibandingkan dengan masa yang terbazir membuat perbuatan lagho. Begitu saran seorang teman. Sungguh, Allah SWT berlaku adil sesaksama mungkin. Sedikit sahaja masa bersama jama’ah untuk da’awah, banyak lagi kelapangan dan nikmat yang dikurniai-Nya. Syukur! Subhanallah. Alhamdulillah. Laa ilaaha illallah. Wala haulawala quwwata illabillahil ‘aliyil ‘azim.


Maha Besar nikmat-Nya. Namun, walaupun sedikit tertinggal di awalnya, Munthalaq Berjaya juga menghabiskan Modul Pembangunan Insan 01. Syukur sekali lagi pada-Nya.


Semoga setiap apa yang kami pelajari dalam Modul 01 akan terterap dalam hati sanubari masing-masing. Agar setiapnya akan bertambah faham akan jalan yang semakin sukar ini. Agar kami bisa menepis segala tohmah dan fitnah yang mungkin melanda. Supaya da’awah kita bernafas panjang, biar setelah ketiadaan kita di dunia fana ini. Amin ya Rabbal ‘alamin.


Ya Allah, Tuhan yang Maha Pengurnia,

Kau tsabatkan kami,

Kau teguhkan pendirian kami,

Kau berilah kekuatan kepada kami,

Kau kurniakanlah kesabaran,

Kau hilangkanlah resah kami,

Kau hapuskan keluhan kami,

Kau pimpinlah kami,

Di jalan-Mu yang lurus, benar dan panjang ini,

Dan kurniailah kami redha-Mu,

Syurga dan kasih sayang-Mu.


Mynna S.

“berjuang ertinya terkorban, kerna kita berjuang untuk bekorban”


-------

Begitulah, suatu ketika dahulu tatkala langkahku belum bermula. 9:111 masih terus menjadi antara ayat-ayat motivasiku hingga kini. Ya Allah, mohon ditsabatkan atas jalanMu yang benar lagi membenarkan ini.

No comments:

Post a Comment