Friday, September 17, 2010

Lidah & Humazah

Jika ditanya, apakah benda yang paling tajam di dunia? Pasti ramai yang sudah tahu jawapannya; LIDAH!

Lidah itu setajam mata pedang yang mampu menghunus hati si pendengar. Astaghfirullahal'azim, betapa Allah Maha Pengampun kepada hamba-hambaNya yang bertaubat. Acapkali kita diingatkan dengan firman-firman Allah SWT, menegur kita untuk memelihara hubungan sesama makhluk Allah SWT. Tambah-tambah lagi dalam dakwah dan tarbiyah!

Baru-baru ini, bersama adik-adik kesayangan yang menggelarkan diri mereka Najmul Insyeerah bertadabbur dengan satu surah yang kita sedia maklumi, mengecam tindakan jahat para pengumpat dan pencela. Subhanallah, begitu hebat tulisan As-Syahid Syed Qutb! Berikhtiar memahamkan umat yang lesu dan menyedarkan kita yang melayu terhadap ayat-ayat Allah. Terasa begitu tegas dan seksanya jiwa membaca kutukan dan kecaman Allah terhadap pengumpat dan pencela.

Membuatkan hati tertanya-tanya; "Adakah aku sebegini? Adakah aku sebegitu? Adakah yang Allah kecam itu termasuk aku?"

Astaghfirullah, memang benar untuk berdiam diri dari berkata-kata yang sia-sia sangat sangatlah sukar! Tidak mudah sama sekali! Kadang-kadang, kita bergurau dengan sahabat-sahabat kita secara membuta-tuli. Jarang sekali memikirkan perasaan mereka. Dan jarang juga menilai baik buruknya kata-kata kita. Mungkin kerana gurau cara itu menarik dan 'fun'. Mungkin juga kerana kita sudah terlalu lali dengan cara itu. Atau kita dah tak ada modal nak buat lawak cara lain?!

Allahu rabbi.. betapa hina dan pelupanya diri manusia. Hinggakan kecaman Allah hanya dianggap pesanan untuk golongan yang menolak islam. Ampuni aku, ya Allah..

Seperti kata-kata seorang ukhti, kita terlalu kerap beranggapan bahawa kita adalah watak putih dalam al-Quran. Tak pernah terlintas bahawa kita boleh jadi tergolong dalam golongan yang dikecam Allah SWT dalam al-Quran. Mungkin benar kita tidak 'kafir' atau 'munafiq' sebenar tapi perbuatan-perbuatan kita tidaklah ada bezanya dengan golongan-golongan itu. Ke berbeza?

Tepuk dada, tanya iman!

Kita lihat, umat islam masa kini terlalu tertumpu kepada perkara-perkara cabang yang Allah firmankan lalu mesej utama berada di titik buta! Betapa besarnya maksud surah al-Humazah dan penekanannya pada aspek hati dan jahiliyah! Tapi, berapa ramai yang merasainya apabila bibir terkumat-kamit melafazkan surah hebat ini? Barangkali, hanya ada beberapa orang yang benar-benar menghayati al-Quran seperti As-Syahid Syed Qutb.

Ya Allah Rabbul 'Izzati, kau golongkanlah aku dalam golongan itu, beramal dengan sebenar-benarnya dengan kalimahMu.

Pernah tak perasaan ngeri dan takut hadir tatkala kita membaca bait-bait surah al-Humazah ini? Atau kita membaca sepintas lalu tanpa sekelumit perasaan gerun pun di dalam hati?!

Wahai sahabat, sungguh Allah telah mengecam untuk membakar pengumpat dan pencela dengan Neraka Hutamah yang istimewa. Membakar sehingga ke dalam diri manusia, hati-hati punca sifat takabbur dan ego! Hati-hati itulah yang sangat-sangat perlu kita pelihara, perlu kita sucikan, belai dan bajai dengan benih-benih iman dan islam. Bukan dengan jahiliyah yang sudah mendarah-daging dalam umat islam keseluruhannya. Lambat sangat dikikis sampaikan tak ubah seperti dasar periuk yang hangus tak terhilangkan dengan berus dawai!

Percaya atau tidak? Seorang penumpat dan pencela itu tidak akan melakukan perbuatan itu jika nur iman menerangi hatinya! Pasti tidak akan bersifat takabbur dan ego hingga sanggup mencela makhluk kesayangan Allah hanya kerana dirinya mempunyai harta kekayaan! Ingatlah, harta-harta dan dunia milik kita hanyalah pinjaman dari Allah SWT! Nah, betapa besarnya kasih sayang Allah kepada kita.. Subhanallah..

Sungguh, tatkala ukhti kesayangan itu menterjemahkan isi kandungan Surah al-Humazah hati ini terasa bergetar-getar kerana takut aku tergolong dalam golongan yang dikecam lantaran sudah terlalu 'biasa' melahirkan kata-kata kesat dan kurang sopan. Dah biasa sangat dah! Malah dah jadi cara bercakap harian! Na'uzubillah... semoga masih berkesempatan berubah sebelum datangnya satu ketika penyesalan tidak lagi berguna.

Jazakunnallahu khayran kathira akhwati fillah aka Najmul Insyeerah atas peringatan yang diberi. Hampir diri ini terlupa akan tingkah laku yang mengundang dosa atau pahala. Antunna adalah bintang-bintang yang bisa menggegar dunia dan menenangkan hati.

Sungguh, seorang wanita itu tersangat mudah untuk masuk syurga jikamana dia taat kepada suami dan agama. Tapi sayangnya, wanita jugalah yang terbanyak menjadi penghuni neraka.

Semoga Allah terus memimpin kita dalam menelusuri hidup ini denga hidayah dan cintaNya. TanpaNya, kita mungkin tergolongan dalam golongan yang menjadi bahan bakar neraka atau menjadi golongan yang diikat pada tiang-tiang panjang di neraka, diseksa jiwa dan fizikal. Na'uzubillah.


Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang

1. Celakalah bagi setiap pengumpat dan pencela,
2. Yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitungnya,
3. Dia (manusia) mengira bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya.
4. Sekali-kali tidak! Pasti dia akan dilemparkan ke dalam (neraka) Hutamah.
5. Dan tahukah kamu apakah (neraka) Hutamah itu?
6. (Iaitu) api Allah yang dinyalakan,
7. Yang membakar sampai ke hati.
8. Sungguh, api itu ditutup rapat atas (diri) mereka,
9. (Sedang mereka itu) diikat pada tiang-tiang yang panjang.


Allahu'alam.


"Diam itu adalah satu kebijaksanaan, tetapi sedikit sekali yang melakukannya."

No comments:

Post a Comment