Friday, November 5, 2010

Aku Dah Lama Bercinta

“Dia telah menciptakan langit dan bumi dengan lunas kebenaran. Dia telah menentukan bentuk rupa kamu dan memperelokkan rupa paras kamu dan kepadaNya tempat kembali.” (3)

Dia Mengetahui segala sesuatu yang ada di langit dan di bumi. Dan Dia mengetahui segala sesuatu yang kamu sembunyi dan segala sesuatu yang kamu nyatakan, dan Allah Maha Mengetahui segala isi dada.” (4)


Maha Suci Allah, yang menciptakan segala kejadian dan segala yang terang dan ghaib. Tidak dinafikan, alam buana ini telah diciptakan oleh Allah yang memiliki kuasa Maha Besar tidak tertanding oleh sesiapa sekalipun. Tidak ada yang boleh menafikannya hatta seorang yang berpangkat DiRaja sekalipun. Tidak ada suatu pun yang Allah ciptakan dengan sia-sia, kosong tanpa tujuan dan manfaat untuk kita. Walaupun nyamuk yang acap kali dikaitkan dengan penyakit-penyakit berbahaya sekalipun ada manfaatnya untuk kita.


Sekilas pandang, firman-firman Allah ini selalu aku baca dan selalu aku tenung namun terlalu kerap merenung tafsiran indah ini tanpa rasa. Renungan dan kerutan kening itu tanpa makna dan tanpa mengisi ruangan dada. Astaghfirullahal’azim, mohon ampun pada Allah kerana selama ini aku mensia-siakan al-Quran digenggaman tanpa ada susah-payah memahami dan menghadam panduan hidup tersebut.


Aku telah diajari sedari kecil bahawa alam ini ada yang menciptakan. Dan aku juga diajari bahawa hidup ini ada hala tuju dan matlamat jangka masa panjang. Tapi, pengalaman kecil yang aku ada membataskan prioritasku dalam merangka hala tuju hidup ini. Aku tak pernah tahu bahawa setiap unsur alam dan langit yang terbentang ini dizahirkan hanya untuk aku dan seluruh manusia melaksanakan perintah Allah yang satu. Satu tujuan hidup atas landasan yang sama. Hanya ada satu perintah Yang Esa, sama untuk setiap manusia! Hanya satu! Bukan dua, bukan sepuluh dan bukan pula sejuta! Perintah Allah hanyalah, Lailahaillallah! Lailahaillah, itulah hala tuju hidup kita yang satu dan hanya satu.


Nah, kawan-kawan. Kalimah ini bukan tidak pernah kita dengar sebelum ini. Banyak kali, malah berjuta-juta kali. Kita melafazkan kalimah agung ini paling tidak sembilan kali sehari. Mungkin ada yang lebih sepuluh kali! Ada juga yang melafazkannya dengan satu bacaan yang teliti dan tepat sebelum tidur kerana takut nyawa berakhir dalam lena. Tapi, berapa ramai yang mengenali bahawa inilah satu perintah Allah bukan sekadar hafalan. Bukan pula sekadar salah satu senarai rukun islam yang disogokkan kepada kita ketika di bangku persekolahan! Sungguh, inilah perintah Allah yang satu. Mengilahkan tiada yang lain selain Dia. Bukan menjadi hamba kepada TV, bukan menjadi hamba kepada laptop mahupun ibubapa! Hanyalah hamba kepadaNya!


Tahukah engkau wahai sahabat, bahawa alam buana ini Allah ciptakan untuk kita berkejar-kejar mendapatkan redhoNya? Suatu ketika dulu, aku tak pernah tahu atau mungkin tak mahu ambil tahu. Tapi, atas takdir Allah aku baru sahaja mengetahui hakikat ini bahawa alam ini bukan untuk aku bersuka-ria menggembirakan hati. Tapi, alam ini adalah tempat untuk aku dilukai dan disakiti. Inilah hamparan yang Allah berikan untuk kita bersama-sama terluka dan tercedera demi cintaNya! Tidak ada ruang untuk aku dan engkau bermain-main, tiada tempat untuk aku dan engkau menyelit dicelah-celah kebahagiaan manusia alpa yang mencintai dunia dan isinya! Ini hanyalah tempat untuk mengumpul redho Allah! Bukankah Allah telah berfirman bahawa alam ini hanya dijadikan untuk kebenaran? Dan bukankah kebenaran itu adalah kalimah thoyyibah yang menyeru kepada Allah? Atau hanya aku yang salah faham? Ajari dan luruskan aku ya sahabat jika aku berkata yang dusta.


Maafkan aku sahabat, jika bahasaku sukar engkau fahami atau jika tulisan ini tambah mengelirukan. Mungkin ini bukan bidangku, mungkin ini keistimewaanmu. Dan percaya atau tidak, Allah juga telah menjadikan aku dan engkau berbeza. Masing-masing dengan kehebatan dan kelebihan tersendiri. Begitu juga antara kita dan makhluk Allah selainnya! Betul kan, kita tidak sama dengan orang utan? Dan pasti kan, kita sama sekali bukan dari keturunan ikan? Alhamdulillah atas keindahan paras rupa yang Allah beri kepada kita. Wa astaghfirullah jika dengan kelebihan ini menjadikan kita makhluk yang takabbur dan enggan sujud sepenuhnya kepadaNya.


Aku dan engkau mengimani bahawa setiap yang ada di alam buana ini adalah islam. Segala-galanya menyerah dan tunduk patuh kepada Allah sama ada secara rela mahupun secara paksa. Tidak ada makhluk yang bernama sayur yang bukan islam. Tidak ada seekor ikan walau dengan gelaran apa sekali pun yang tidak tunduk pada suruhan Allah. Malah, tidak ada walau satu jantung pun yang berdegup dengan perintah dan arahan manusia! Tidak ada! Segala-galanya adalah islam. Aku dan engkau juga adalah islam. Tapi, dahulu aku tak pernah tahu semua ini. Aku baru tahu hari ini bahawa setiap kejadian itu adalah islam dan akhirnya nanti akan kembali juga islam. Aku manusia, berjenama Islam dan engkau juga islam dengan jenama yang sama. Tapi, sedar atau tidak jenama itu tidak akan membawa kita ke mana-mana. Samalah seperti sebuah mesin pemotong rumput berjenama Toyota adalah tidak sama dengan sebuah pengisar daging berjenama Mesin Pemotong Rumput. Makanya, aku dan engkau perlu berfungsi sebagai seorang manusia yang tunduk dan patuh kepada setiap perintah Allah dan meninggalkan setiap larangan Allah. Dengan itu, barulah jenama Islam yang kita galas sesuai dengan ’produk’nya!


Wahai kawan-kawan, aku baru tahu hari ini bahawa Allah itu Maha Mengetahui. Dia memang sangat-sangat Maha Mengetahui. Bukan setakat tahu apa yang ada di planet Marikh atau di galaksi Bima Sakti semata-mata malah lebih dari itu. Melebihi apa yang mampu terlihat oleh mata kita ataupun mikroskop! Bukan setakat bakteria atau virus! Lebih dari itu! Allah Maha Mengetahui dan Dia Maha Tahu setiap perasaan dan hati manusia yang tidak pernah ada neraca ukurnya pada kacamata manusia. Ikhlas itu tidak boleh diukur dengan unit gram atau kilo. Kecewa dan sedih tak boleh ditimbang dengan dacing rempah. Malah, penimbang ukur digital pun tidak akan mampu atau sanggup untuk menimbang beratnya perasan gembira manusia yang telah berjaya menawan puncak Everest! Tapi, Allah Maha Tahu kerana Dialah menciptakan aku dan engkau. Dialah yang memelihara kita luar dan dalam. Percaya atau tidak, Dia benar-benar mencintai aku dan engkau. Tidak ada yang lain mencintai kita sebegitu hebat, sebegitu agung. Hanyalah Allah Yang Maha Mengetahui segala isi hati.


Hari ini, sekali lagi aku merenung setiap bait ayat-ayat Allah ini. Merenung lebih dalam, lebih bermakna. Akhirnya aku merasai bahagia walau dalam kesempitan dunia fana. Akhirnya hatiku membunga, mekar dengan rasa cinta dan ria. Agungnya Allah, tiada tandingan. CintaNya pada aku dan engkau sangat indah, sangat membahagiakan. Betapa ruginya aku dahulu, berpaling dari cintaNya mencari cinta manusia yang juga milikNya. Astaghfirullah wa astahgfirullahal’azim.


Dan demi cinta ini, dan demi cintaMu ya Allah! Aku perkuatkan langkah, menapak sedikit demi sedikit ke arahMu. Aku tangkaskan derap kaki, pantas berlari di atas jalanMu. Dan demi cinta ini, aku dan sahabatku takkan mundur menyerah takkan mengalah. Demi cinta ini kami akan gemilang!


Baru aku sedar, rupa-rupanya aku telah lama dicintai oleh Dia...


"Wah, bodohnya aku! Hakikatnya, aku telah lama bercinta! Hanya aku yang buta!"

(sesal sekarang jangan kemudian)

No comments:

Post a Comment