Monday, November 8, 2010

Kembali KepadaNya (edited version)

Wahai diri, berapa lama sudah engkau tidak menangis di hadapan Dia? Berapa lama sudah engkau tidak bersapa denganNya? Berapa lama sudah engkau tinggalkan 'kerja'mu yang satu itu? Atau sudah lupakah engkau pada janjimu dulu? Janji yang engkau meterai dalam kontrak penghidupanmu di dunia langsung diluluskan? Lupakah engkau wahai diri?

Bukankah Dia sudah banyak memberi padamu? Bukahkah Dia telah menenangkanmu ketika dadamu terasa dihimpit bumi? Himpitan yang terasa sangat dahsyat dan mustahil engkau tempuhi! Bukankah telah Dia suluhkan jalan gelap yang seringkali engkau lalui dulu? Jalan di mana engkau selalu terperosok ke lubang-lubang jalan yang menghinakan! Jalan di mana engkau diserang secara rahsia dari pelbagai sudut! Dia telah banyak kali menyelamatkanmu dan membersihkan lukamu.Lupakah engkau wahai hati?

Hai diri! Mana kata sesalmu dulu? Sesal hingga tangismu tak berhenti-henti! Sangat sesal hingga tangisan itu membengkakkan matamu yang indah itu? Dan mana janjimu dulu? Janji azali yang engkau agungkan untuk sentiasa ingat padaNya? Janji untuk 'takkan itu dan ini' agar Dia tidak murka padamu lagi! Mana bukti cintamu dulu? Sudah kau lupuskan atau sudah engkau campak di tangki-tangki kumbahan? Semuanya luput sekelip mata!


Benarkah wahai diri, engkau masih mahu bersama DiriNya? Atau engkau sudah terlalu sibuk mengejar ilusi maya? Kau kejar dan kejar tak henti-henti, tapi apa yang engkau dapat? Tiada apa-apa! Dan diri, apakah engkau terlalu mendongakkan kepalamu melihat si pendustayang tidak sempurna? Madu-madu itu hanyalah palsu! Kehebatan itu hanyalah tipu! Tiada yang benar, melainkan janji Dia wahai diri!

Katakanlah diri, apa ertinya harta padamu? bagaimana pula dengan masa lapangmu? Ada apa pada manusia lainnya? Apa pula dunia ini dalam persepsimu? Apa ertinya semua ini jika dibandingkan setianya Dia bersamamu? Untuk apa semua itu jika Dia selalu bersamamu? Tidak cukupkah semua itu?

Aduhai diri, ingatilah hidup ini bukan selamanya. Hidup ini pasti ada noktahnya. Noktah itu, hanya Dia yang tahu. Jika engkau terlalu cintakan dunia dan kasur empukmu, ingatlah wahai diri hidup di sini hanya sekali! Ia hanyalah satu persinggahan. Jika engkau kejar dan kejar lagi dunia ini, engkau hanya mengejar bayang-bayang mentari! Bukan mengejar si matahari yang lebih hebat dan menjadi punca si bayang-bayang! Dan ingatilah diri, kejar-mengejar itu tidak akan terjadi selama-lamanya. Setiap permulaan itu, pasti ada kesudahannya.

Wahai diri yang sering terleka, sampai bila masih mahu melukut ditebing binasa? Sedang nyawa hampir dihujung usia? Siapa kita menentukan kata, bahawa mati itu takkan tiba? Dan juga, sampai bila masih lagi menempel pada kilauan permata? Benar ianya indah, ianya terlalu mempesona jiwa. Tapi sampai bila, air mata gugur hanya untuk permata sementara? Pastikah engkau bahawa tangis untuk dunia itu dengan mudah engkau hentikan semena? Tanyalah jiwa! Dan sampai bila masih sanggup dibelai mesra oleh senang dan tenangnya dunia? Sampai bila hai diri? Sampai bila? Sekali lagi, tepuklah dada tanyakan jiwa!

Adakah engkau menunggu sehinggai nafas terhenti mengombak dada? Atau adakah engkau menanti sehiingga mata itu tak mampu lagi melihat dunia? Atau mungkin juga, engkau menunggu pintu taubat itu tertutup selama-lamanya buatmu hai diri? Adakah begitu wahai jiwa? Tak terbendung lagi air mata ini membayangi hinanya diri..

Katakanlah wahai diri! Apa yang ada dibenakmu? Apa yang engkau simpan digeluk hatimu itu hai diri? Keruhkah ia? Jernihkah ia? Mengapa tangis itu tidak lagi untuk Dia? Dan kenapa tangis rintih itu hanya kepada mereka dan dunia? Menagislah wahai hati.. menangislah wahai diri.. menangislah kepada Tuhan.. menangislah menyesali kelalaian.. menangislah mohon diberi keampunan..


Taubatlah, wahai diri! Hanya darinya engkau datang, dan hanya kepadaNya engkau akan dikembalikan...

No comments:

Post a Comment