Monday, May 23, 2011

Kata tak terucap buat sang ibu (Part 1)

"Morning darling. How're you feeling today? Better?" tanya midwife Licia kepada Nerida, seorang ibu yang menanti kelahiran cahaya matanya yang kedua.

Aku bukanlah orang yang terbaik menilai manusia tapi dari pengamatanku yang tidak seberapa, wajah ibu ini kelihatan sangat layu. Terasa seperti jiwanya penuh kerisauan dan dibungkam kesedihan. Mana tidaknya, sudah beberapa hari kakak ni mendiami hospital gah ini untuk 'observation'.

Kelahiran Marcus, anak pertama kepada ibu muda ini bukanlah pengalaman terbaik buatnya. Pelbagai cabaran dan kepayahan terpaksa dihadapi si ibu muda. Malah kali ini juga begitu.

"Hello Shylene. I need you to review patient in room 9 for suspiscious CTG. There seemed to be deceleration followed by fetal tachycardia in the trace. I'm assuming the fetus is distress!" lapor Licia panjang lebar kepada doktor bertugas.

"Lactate first reading... 6.6", kata si doktor penuh tenang.

"Second reading, doctor?" tanya Nerida penuh debaran sambil matanya mencuri2 pandang keluar tingkap.

Hanya Allah Maha Mengetahui, segala resah dan bicara hati Nerida. Aku yang memandang dengan mata kasar hanya mampu menilai menurut perkiraanku yang terbatas. Mengatahui sedikit latar belakang Nerida membuatkan aku banyak berfikir sendiri. Nyata, ini adalah bukti kewujudan Allah disisiku. Mengajari aku nilai-nilai jiwa manusiawi yang sangat mudah terusik.

Sedari tadi, Nerida masih tetap enggan menghubungi suaminya mahupun ibunya untuk bersama-sama menyambut kelahiran anak yang dinanti selama 9 bulan ini. Memang pelik! Ibu muda ini tidak ditemani siapa-siapa padahal sedang berhadapan dengan dua kemungkinan; baik atau buruk. Padahal, saat-saat begini sangat-sangat penting buat sang ibu. Tidak boleh ada rasa gundah, tidak boleh ada rasa kecewa, tidak pula rasa sedih yang menggila!

Sehinggakan pada satu tahap, aku pula yang hampir meledak kerana marah. Bukan marah kerana wajahnya muram tapimarah kerana sering mempersoalkan ketentuan-ketentuan Allah buatnya! Tapi, cepat-cepat aku perbetulkan hati mengingatkan diri bahawa ibu muda ini belum lagi mengimani hebatnya kuasa Allah. Astaghfirullah, aku manusia yang cepat lupa..tidak perlu 'reactive'!

Mungkin juga, aku tidak pernah memahami jiwa sang ibu muda yang diuji dengan bayi-bayi yang besar..atau diuji dengan sistem keluarga yang kurang kasih sayang.. wallahu'alam, segalanya terbuku dalam hati sang ibu.

Setelah bacaan Lactate ketiga dibacakan, ternyata takdir Allah mengatasi kehendak Nerida untuk melahirkan kandungannya 'vaginally' (hilang da bahasa melayu). Nerida kini sedang dipersiapkan untuk emergency C-section di OT 5. Segala persiapan disediakan dengan pantas demi menyelamatkan satu kehidupan.

Setibanya di OT 5, top up epidural segera diberikan kepada Nerida dan hanya pada ketika itulah ibu muda itu menelefon suami dan ibunya. Aku bertambah pelik! Bukannya apa, suami dan ibu Nerida menetap di Central Coast! Jaraknya sejam dari Newcastle! Malah aku bertambah pelik menyaksikan kejadian ini. Tapi, Allah lebih tahu hati si ibu muda yang berada di hadapanku ini.

Tanpa membuang masa, doktor-doktor yang hadir segera membelah daging-daging Nerida lalu mengeluarkan bayi comel dari rahimnya. Subhanallah, maka bergemalah jerit tangis si bayi lelaki seberat 4.110 kg itu di dalam OT 5. Baru kali inilah aku melihat sedikit bibit ceria di raut wajah Nerida yang sejak dari pagi tadi bermuram. Mungkin ini agaknya, apa yang dimaksudkan dengan kegembiraan yang melampaui kesakitan seperti yang selalu aku dengar dari makcik-makcikku di Malaysia suatu ketika dulu.

Licia mengambil alih tugas para doktor untuk membersihkan bayi comel ini sebelum diserahkan kepada sang ibu untuk 'bonding time'. Aku hanya memerhati wajah kecil bayi ini yang tidak henti-henti menangis. Kadang-kadang, terasa seperti bayi ini layak dicubit-cubit pipinya kerana terlalu banyak menangis. Atau mungkin kerana aku hanya ingin bermain dengan bayi comel ini! Maha Suci Allah, Tuhan yang menciptakan manusia dari segumpal darah! (comelnyeee baby nih!!)


Licia segera menyerahkan bayi comel itu kepada sang ibu muda yang sudah sedia ghairah menanti anaknya. Alangkah hebatnya kasih sayang Allah, hinggakan aku hampir menitiskan air mata melihat bibit ceria kembali menghiasi wajah si ibu yang telah beberapa hari bermuram durja. Jika kasih sayang seorang ibu kepada anaknya pun sudah sehebat ini, pasti kasih sayang Allah buat kita lebih-lebih lagi. Hanya sebahagian kasih sayang daripada 100 bahagian telah Allah berikan kepada seluruh makhluk yang ada. Bayangkan, hanya dengan satu bahagian kecil ini seekor ibu unta mengelak dari terpijak anaknya!


Dengan linangan air mata, Nerida mengusap-usap kepala bayinya yang baru lahir sambil terkumat-kamit melafazkan kata sayang.

"Mummy loves you Ayril.. don't you worry. Mummy's here for you"


Setelah beberapa ketika, tiba-tiba bayi Ayril (nama yang Nerida dah pilih untuk anaknya) menangis kelaparan. Licia dengan segera mencadangkan agar bayi Ayril disusukan sendiri oleh Nerida walaupun mengetahui sejarah Nerida yang tidak pernah menyusukan anak pertamanya. Subhanallah, betapa rahmat Allah sebenarnya bersama Nerida! Lihatlah ibu muda, Allah bersamamu walaupun engkau sentiasa murung bimbang nasibmu sentiasa malang. Lihatlah petanda-petanda ini datang dari Allah, untuk engkau lihat dan berfikir akan satu kuasa yang bersamamu. Allah telah mentakdirkan bayi Ayril untuk disusukan oleh ibunya sendiri. Satu lagi tangis kegembiraan Nerida pada hari ini..terima kasihlah kepada Allah yang mengurniaimu kebaikan setiap hari dalam engkau sedar atau tidak.

Akhirnya, Licia mengajak aku untuk kembali semula ke Delivery Suite untuk menguruskan kertas-kertas kerja dan memberi suntikan pertama kepada bayi Ayril. Sebelum melangkah keluar dari OT 5, sang ibu muda masih belum mahu melepaskan anaknya pergi tapi terpaksa menerima hakikat itu lantaran jahitan para doktor ke atas rahimnya belum usai. Selamat tinggal sang ibu untuk kesayangannya sementara...

Setibanya di Delivey Suite, aku telah ditinggalkan bersama bayi Ayril di dalam salah satu bilik yang ada sementara Licia menyiapkan peralatan untuk menimbang berat, 'injections' vitamin K dan Hepatitis B dan sebagainya. Maka, aku pun menanti dengan penuh kerisauan..bimbang kalau-kalau bayi Ayril menangis tiba-tiba!

"Apa yang perlu aku buat dengan baby ni??!" jerit hati kecilku.

Selama aku menanti Licia untuk kembali bersama peralatan-peralatan itu, aku hanya berdiri memandang wajah comel bayi Ayril. Nyata ciptaan Allah sangat indah. Tidak ada satu pun yang Allah ciptakan buruk walaupun manusia ramai dengan beraninya memberi label-label tertentu kepada makhluk lainnya. Tiba-tiba, bilik di mana aku dan bayi Ayril dimasuki 2 orang wanita yang lagaknya seperti orang besar di hospital. Aku terpaku sebentar sehinggalah satu pertanyaan dilontarkan kepadaku:

"Ohh is this your babe? How cute..."


Aku sungguh-sungguh tersentak! Soalan itu ibaratkan peluru-peluru yang menembak-nembak hatiku yang masih belum pernah terfikir untuk memiliki anak sendiri! Secara 'reactive'nya, aku lantas menjawab, "Err.. no no..this is not my child.. I'm just here with him waiting for the midwife to come.." *Grin*

Dan situasi aneh itu berakhir dengan pertukaran senyuman di antara kami. Maka, setelah beberapa ketika Licia kembali dengan segala persiapan...


(bersambung di Part 2)


No comments:

Post a Comment